Friday 7 November 2014

Kertas Ulasan

PENGENALAN
Keusahawanan merupakan aktiviti penuh azam daripada seorang individu atau sekumpulan individu yang memulakan, mengekalkan atau mengatur unit perniagaan yang berorientasi kepada keuntungan untuk pengeluaran dan pengedaran barangan dan perkhidmatan ekonomi (A.H. Cole, 1959). Kuratko dan Hodgetts (2004) mendefinasikan keusahawanan sebagai suatu proses inovasi dan penciptaan melalui empat dimensi iaitu individu, organisasi, alam sekitar (environment) dan proses, dengan kerjasama rangkaian di dalam kerajaan, pendidikan dan kelembagaan (institution). Usahawan pula adalah pengiktiraf peluang di mana orang lain melihat keadaan huru-hara atau kemelut. Usahawan juga pemangkin untuk perubahan yang agresif dalam pasaran dan pencabar sesuatu yang tidak diketahui dan terus menerus mencipta masa depan. Peter F. Drucker berkata “apa yang kita dengar mengenai keusahawanan yang dikatakan oleh pemikiran pengurusan di Amerika adalah salah. Ia bukan magik, bukan misteri dan tidak ada kena mengena dengan baka. Keusahawanan adalah disiplin dan boleh dipelajari”. Pembangunan keusahawanan amat penting dalam aspek individu kerana dapat memperbaiki peribadi seseorang usahawan. Pembangunan keusahawanan juga amat penting dalam aspek sosial di mana dapat meningkatkan taraf hidup masyarakat. Dalam aspek negara juga pembangunan keusahawanan amat penting kerana dapat meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara.

ISI

Terdapat pelbagai kelebihan perniagaan internet yang dilakukan. Antaranya adalah tidak memerlukan modal permulaan yang tinggi. Hal ini kerana kita tidak perlu menanggung kos pengurusan yang tinggi untuk menggaji ramai pekerja. Selain itu juga, untuk memulakan perniagaan melalui internet kita tidak perlu memohon lesen perniagaan sehinggalah perniagaan kita telah berkembang dan berjaya. Peruntukan masa pula hanyalah sejam hingga dua jam sehari sahaja untuk menguruskan perniagaan internet yang dijalankan. Kita juga tidak perlu menyewa ruang pejabat malah tidak perlu membeli peralatan seperti komputer, meja, kerusi atau unit penghawa dingin kerana ada pihak lain yang menawarkan perkhidmatan tersebut dengan kadar sewa yang amat murah dan fleksibel. Kita cuma perlu tahu bagaimana cara untuk memperolehi semua tersebut. Hal ini dapat dikaitan dengan salah seorang usahawan Internet berjaya iaitu Irfan Khairi. Modal permulaannya hanya RM500. Oleh sebab minat dan pengetahuan yang mendalam dalam bidang Internet dan perniagaan, beliau mula berjinak-jinak dalam bidang perniagaan Internet secara sambilan pada 1999. Selepas mendapati pendapatan daripada perniagaan Internet miliknya itu bertambah berlipat kali ganda, beliau mengambil keputusan untuk berhenti kerja dan menumpukan sepenuh perhatian kepada perniagaan tersebut.Semenjak itu, Irfan hanya bekerja sepenuh masa dari rumah dengan hanya menggunakan komputer riba dan internet. Dalam masa 3 tahun beroperasi, salah satu perniagaannya memperolehi untung bersih sebanyak RM1,000,000  walaupun tanpa pekerja dan peralatan komputer yang canggih.

Selain itu, untuk menjadi usahawan yang berjaya, kita perlukan berani mengambil risiko. Seperti sifat umum yang ada pada seorang usahawan, usahawan yang ingin berjaya pada abad ke-21 perlu mengambil risiko serta berhadapan dengan risiko yang telah diperhitungkan. Secara amnya, semakin tinggi risiko, semakin tinggi pulangan yang akan diperolehi. Namun begitu, pada abad ke-21 ini, seseorang usahawan haruslah mengira dan memperhitungkan risiko yang bakal dihadapi bagi mengelakkan kemungkinan kerugian pada masa akan datang. Sebagai contoh, Nash Idrus berani mengambil risiko dengan meletakkan peribadi dan professional sebagai kuasa beliau untuk terus berkembang sebagai usahawan. Secara keseluruhannya, beliau telah melabur lebih daripada AS 50,000 dalam latihan, seminar, buku dan menjalani peribadi Kejurulatihan Perniagaan.

Orang yang positif tidak gemar dengan sikap suka berputus asa. Orang yang positif juga memandang sesuatu kegagalan itu pada sudut yang positif. Mereka akan memandang kegagalan sebagai guru terbaik dalam konteks mencapai kejayaan. Oleh kerana itu, orang-orang yang positif walau betapa teruk pun mereka jatuh, mereka akan terus berusaha untuk bangun semula serta berusaha mengukir kejayaan yang lebih besar. Oleh itu, janganlah sekali-kali berputus asa. Sikap berputus asa adalah amalan syaitan. Allah mencintai makhluk-makhlukNya yang positif dan cekal serta sentiasa memohon keredaanNya. Sebagai contoh, Dato’ Aliff Syukri Kamarzaman,pengasas produk D'Herbs, merupakan seorang Usahawan muda yang bergelar Datuk pada usia 25 Tahun. Beliau telah dilontarkan dengan kata-kata yang kurang menyenangkan “alaa Syukri, kau tu takkan boleh berjaya. Kau tu lepasan SPM, masuk universiti pun tak lepas. Kau takkan berjaya Syukri”. Kata-kata itu dilontarkan diawal perniagaannya dibangunkan. Namun beliau tidak pernah berputus asa dan terus berusaha sehingga berjaya ke tahap yang sekarang.

KESIMPULAN

Untuk menjadi seorang usahawan muda yang berjaya bukanlah sesuatu yang mudah. Ianya memerlukan keazaman yang sangat tinggi dan berani mengambil risiko. Selain itu, kita perlu mempunyai ciri-ciri yang bertepatan untuk menjadi usahawan berjaya. Namun sekiranya kita mengalami kejatuhan ataupun gagal di awal perniagaan, jangan pernah sesekali berputus asa. Kita pasti akan berjaya sekiranya terus berusaha. Bak kata pepatah “ usaha tangga kejayaan ”.





No comments:

Post a Comment