Wednesday 15 October 2014

Konsep blog


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera. Saya menghasilkan blog ini sebagai salah satu tugasan bagi mata pelajaran BPME2013 Kemahiran dan Gelagat Usahawan pada semester ini. Ikutilah perjalanan saya untuk menghasilkan blog ini. Terima kasih kerana sudi membaca. J

Pada permulaan saya ingin menerangkan tentang visi, misi dan matlamat saya membuat blog ini. Apakah yang dimaksudkan dengan visi,misi dan matlamat? Apakah pengertian sebenar visi, misi dan matlamat? Apakah contoh visi,misi dan matlamat?

Visi : Tanggapan dan pandangan yang jauh dan mendalam, terutamanya yang berkaitan dengan perkembangan masa depan, wawasan dan sebagainya. Dalam erti kata lain, visi adalah hasil yang mahu dicapai. Contohnya seperti menjadi perniagaan yang berdaya maju dalam bidang IT. Visi adalah sama maksud dengan istilah impian dan cita-cita, dan disandarkan pada misi yang dilaksanakan ataupun usaha.

Misi : Tugas khusus yang dipertanggungjawabkan kepada atau yang akan dilakukan oleh seseorang atau sesuatu kumpulan. Dalam erti kata lain misi bermaksud usaha yang akan dilaksanakan bagi mencapai visi tertentu. Ia juga bermaksud mengapa kita (perniagaan) perlu wujud? Contohnya adalah seperti memberikan nilai pengalaman yang terbaik kepada pelanggan melalui teknologi IT yang diniagakan.

Matlamat : Sasaran, sesuatu yang hendak dicapai, atau  tujuan. Dalam erti kata lain matlamat ialah sasaran-sasaran perkara yang ingin ditingkatkan daripada tahap kita berada sekarang ke tahap yang kita inginkan. Ia adalah hasil daripada kita mengenal kekuatan, kelemahan, ancaman dan peluang yang ada.

Bagi mencapai visi, misi perlu ditetapkan. Misi ialah perkara atau tugas yang akan kita lakukan bagi mencapai visi. Bagi syarikat, ia juga merupakan khidmat atau perkhidmatan yang kita tawarkan.

Visi saya menghasilkan blog ini adalah untuk menjadi salah satu blog utama yang sering dilawati oleh masyarakat bagi topik berkaitan dengan keusahawanan. Misi blog ini dihasilkan pula adalah untuk menulis artikel yang berkualiti secara konsisten, mengutamakan artikel berkaitan keusahawanan dan pemasaran, menulis dengan menggunakan bahasa Melayu yang sempurna, menyebarkan ilmu perniagaan dan keusahawanan yang betul kepada rakyat Malaysia dan memberi perkongsian tulisan yang bermanfaat dan berkualiti dalam topik blogging, keusahawanan dan perniagaan.

Matlamat saya menghasilkan blog ini pula adalah untuk membantu sesiapa sahaja yang  ingin membina blog menggunakan hosting sendiri, menulis buku berkaitan topik blogging, keusahawanan dan perniagaan, berkongsi ilmu dan pengalaman melalui artikel dan soalan yang dikemukakan, mewujudkan blog yang mesra pengguna, dan menyediakan bahan bacaan bermanfaat buat pengunjung setia blog.

Konsep yang saya gunakan untuk blog ini adalah blog saya boleh dilawati oleh sesiapa sahaja tanpa mengira peringat umur asalkan ianya berkaitan dengan keusahawanan. Sesiapa yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai keusahawanan bolehlah melawati blog saya.


Saya akan membuat analisis tentang sesuatu artikel yang berkaitan tentang keusahawanan terlebih dahulu sebelum saya menulis di laman blog saya. Sumber yang diperolehi haruslah daripada sumber yang tepat. Hal ini kerana laman blog saya akan dilawati oleh orang yang ingin mengetahui lebih mendalam tentang keusahawanan. Sekiranya saya menulis sesuatu yang tidak tepat, maka pelawat laman blog saya juga akan mendapat info yang salah.

Saya juga ada menyediakan ruangan komen untuk pelawat laman blog saya. Mereka boleh menggunakan ruangan komen tersebut untuk mengkritik hasil tulisan saya dan juga sekiranya mereka ingin saya membuat penambahbaikan di laman blog saya. Saya akan menitikberatkan komen-komen yang diberikan oleh mereka supaya laman blog saya terus dilawati oleh semua orang.

Bercerita tentang proses pembangunan blog ini, pada mulanya saya menetapkan visi, misi dan matlamat blog ini dibuat. Kemudian, sebelum saya menulis sesuatu berkaitan keusahawanan, saya mencari maklumat dan menganalisis fakta tersebut terlebih dahulu. Seterusnya saya menyediakan ruangan komen untuk para pelawat laman blog saya untuk memudahkan mereka berkomunikasi dengan saya.

Pengajaran yang saya perolehi dari proses pembangunan tersebut adalah saya dapat melakukan sesuatu daripada awal di mana saya menetapkan visi, misi dan matlamat penghasilan blog terlebih dahulu. Saya dapat merancang sesuatu sebelum melangkah lebih jauh. Kemudiannya, saya membuat analisis kerana saya tidak mahu menyampaikan sesuatu fakta yang salah kepada pelawat blog saya. Hal ini memberi pengajaran kepada saya supaya bersikap jujur di dalam penulisan di Internet. Seterusnya saya menyediakan ruangan komen supaya mereka mudah berinteraksi dengan saya. Hal ini dapat mendidik saya supaya lebih berfikiran terbuka dan mudah menerima pandangan orang lain.

Sekian sahaja penulisan saya pada kali ini. Saya akan sambung lagi pada masa akan datang. Terima kasih dan semoga berjumpa lagi. J


No comments:

Post a Comment