PENGENALAN
Keusahawanan
merupakan aktiviti penuh azam daripada seorang individu atau sekumpulan
individu yang memulakan, mengekalkan atau mengatur unit perniagaan yang
berorientasi kepada keuntungan untuk pengeluaran dan pengedaran barangan dan perkhidmatan
ekonomi (A.H. Cole, 1959). Kuratko dan Hodgetts (2004) mendefinasikan
keusahawanan sebagai suatu proses inovasi dan penciptaan melalui empat dimensi
iaitu individu, organisasi, alam sekitar (environment) dan proses, dengan
kerjasama rangkaian di dalam kerajaan, pendidikan dan kelembagaan
(institution). Usahawan pula adalah pengiktiraf peluang di mana orang lain
melihat keadaan huru-hara atau kemelut. Usahawan juga pemangkin untuk perubahan
yang agresif dalam pasaran dan pencabar sesuatu yang tidak diketahui dan terus
menerus mencipta masa depan. Peter F. Drucker berkata “apa yang kita dengar
mengenai keusahawanan yang dikatakan oleh pemikiran pengurusan di Amerika
adalah salah. Ia bukan magik, bukan misteri dan tidak ada kena mengena dengan
baka. Keusahawanan adalah disiplin dan boleh dipelajari”. Pembangunan
keusahawanan amat penting dalam aspek individu kerana dapat memperbaiki
peribadi seseorang usahawan. Pembangunan keusahawanan juga amat penting dalam
aspek sosial di mana dapat meningkatkan taraf hidup masyarakat. Dalam aspek
negara juga pembangunan keusahawanan amat penting kerana dapat meningkatkan
pertumbuhan ekonomi negara.
ISI
Terdapat pelbagai
kelebihan perniagaan internet yang dilakukan. Antaranya adalah tidak memerlukan
modal permulaan yang tinggi. Hal ini kerana kita tidak perlu menanggung kos
pengurusan yang tinggi untuk menggaji ramai pekerja. Selain itu juga, untuk
memulakan perniagaan melalui internet kita tidak perlu memohon lesen perniagaan
sehinggalah perniagaan kita telah berkembang dan berjaya. Peruntukan masa pula
hanyalah sejam hingga dua jam sehari sahaja untuk menguruskan perniagaan
internet yang dijalankan. Kita juga tidak perlu menyewa ruang pejabat malah
tidak perlu membeli peralatan seperti komputer, meja, kerusi atau unit penghawa
dingin kerana ada pihak lain yang menawarkan perkhidmatan tersebut dengan kadar
sewa yang amat murah dan fleksibel. Kita cuma perlu tahu bagaimana cara untuk
memperolehi semua tersebut. Hal ini dapat
dikaitan dengan salah seorang usahawan Internet berjaya iaitu Irfan Khairi.
Modal permulaannya hanya RM500. Oleh sebab minat
dan pengetahuan yang mendalam dalam bidang Internet dan perniagaan, beliau mula
berjinak-jinak dalam bidang perniagaan Internet secara sambilan pada 1999.
Selepas mendapati pendapatan daripada perniagaan Internet miliknya itu
bertambah berlipat kali ganda, beliau mengambil keputusan untuk berhenti kerja
dan menumpukan sepenuh perhatian kepada perniagaan tersebut.Semenjak itu, Irfan
hanya bekerja sepenuh masa dari rumah dengan hanya menggunakan komputer riba
dan internet. Dalam masa 3 tahun beroperasi, salah satu perniagaannya
memperolehi untung bersih sebanyak RM1,000,000
walaupun tanpa pekerja dan peralatan komputer yang canggih.
Selain itu, untuk
menjadi usahawan yang berjaya, kita perlukan berani mengambil risiko. Seperti
sifat umum yang ada pada seorang usahawan, usahawan yang ingin berjaya pada
abad ke-21 perlu mengambil risiko serta berhadapan dengan risiko yang telah
diperhitungkan. Secara amnya, semakin tinggi risiko, semakin tinggi pulangan
yang akan diperolehi. Namun begitu, pada abad ke-21 ini, seseorang usahawan
haruslah mengira dan memperhitungkan risiko yang bakal dihadapi bagi
mengelakkan kemungkinan kerugian pada masa akan datang. Sebagai contoh, Nash
Idrus berani mengambil risiko dengan meletakkan peribadi dan professional
sebagai kuasa beliau untuk terus berkembang sebagai usahawan. Secara
keseluruhannya, beliau telah melabur lebih daripada AS 50,000 dalam latihan,
seminar, buku dan menjalani peribadi Kejurulatihan Perniagaan.
Orang yang positif tidak gemar dengan sikap suka berputus
asa. Orang yang positif juga memandang sesuatu kegagalan itu pada sudut yang
positif. Mereka akan memandang kegagalan sebagai guru terbaik dalam konteks
mencapai kejayaan. Oleh kerana itu, orang-orang yang positif walau betapa teruk
pun mereka jatuh, mereka akan terus berusaha untuk bangun semula serta berusaha
mengukir kejayaan yang lebih besar. Oleh itu, janganlah sekali-kali berputus
asa. Sikap berputus asa adalah amalan syaitan. Allah mencintai
makhluk-makhlukNya yang positif dan cekal serta sentiasa memohon keredaanNya.
Sebagai contoh, Dato’ Aliff Syukri Kamarzaman,pengasas produk D'Herbs, merupakan
seorang Usahawan muda yang bergelar Datuk pada usia 25 Tahun. Beliau telah dilontarkan
dengan kata-kata yang kurang menyenangkan “alaa Syukri, kau tu takkan
boleh berjaya. Kau tu lepasan SPM, masuk universiti pun tak lepas. Kau takkan
berjaya Syukri”. Kata-kata itu
dilontarkan diawal perniagaannya
dibangunkan. Namun beliau tidak pernah berputus asa dan terus berusaha sehingga
berjaya ke tahap yang sekarang.
KESIMPULAN
Untuk menjadi seorang
usahawan muda yang berjaya bukanlah sesuatu yang mudah. Ianya memerlukan
keazaman yang sangat tinggi dan berani mengambil risiko. Selain itu, kita perlu
mempunyai ciri-ciri yang bertepatan untuk menjadi usahawan berjaya. Namun
sekiranya kita mengalami kejatuhan ataupun gagal di awal perniagaan, jangan
pernah sesekali berputus asa. Kita pasti akan berjaya sekiranya terus berusaha.
Bak kata pepatah “ usaha tangga kejayaan ”.